Friday 30 December 2011

JEJAK PRIHATIN PEJABAT AGAMA JAJAHAN MACHANG 2011

Pada 21 Disember 2011, Pejabat Agama Jajahan Machang telah menganjurkan program Jejak Prihatin 2011 bertempat di Surau Desa Taqwa Tebing Renoh, Paloh Rawa, Machang. Sempena program ini, Pejabat Agama Jajahan Machang telah memberikan bantuan untuk membaiki Surau Desa Taqwa Tebing Renoh. Dengan kerjasama para penduduk Desa Taqwa ini, dinding dan pintu utama surau yang telah uzur telah digantikan dengan dinding konkrit dan pintu ‘sliding’ yang baru.



Program Jejak Prihatin 2011 ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Mohamed Fadzli b. Dato’ Hj. Hassan, ADUN Temangan yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Di antara pengisian program ialah Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rashid Mohd Noor daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan. Selain itu, seramai 50 orang penduduk Desa Taqwa Tebing Renoh juga telah menerima sumbangan kit bantuan yang telah disampaikan Yang Berhormat Dr. Mohamed Fadzli b. Dato’ Hj. Hassan. Turut hadir pada program ini ialah al-fadhil Ust. Mohamad Hilmie b. Hj. Mat Daud, Pegawai Agama Jajahan Machang dan En. Ahmad Fazli b. Abdullah, Penolong Ketua Jajahan Machang yang mewakili Ketua Jajahan Machang.






Sunday 18 December 2011

Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk dan Fasilitator PPKI-PPS Jajahan Machang 2011

Pada 15 Disember 2011 (Khamis), pejabat ini telah mengadakan program Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk dan Fasilitator PPKI-PPS Jajahan Machang, bertempat di Peladang Inn, Machang. Peserta program ini adalah terdiri daripada para Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jajahan Machang serta para fasilitator Pusat Perkhidmatan Khidmat Islam (PPKI-PPS) jajahan Machang.

Di antara objektif muzakarah ini adalah untuk memantapkan kefahaman dan pengetahuan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk dan Fasilitator PPKI-PPS Jajahan Machang mengenai prosedur Nikah, Cerai dan Rujuk yang tepat. DI samping itu, ia juga bertujuan meningkatkan kemahiran para peserta mengenai prosedur kaunseling keluarga dan pasangan bermasalah. Selain itu, program ini disasarkan menjadi medan perbincangan para Penolong Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk dan Fasilitator PPKI-PPS Jajahan Machang bersama pihak Pejabat Agama Jajahan Machang mengenai sebarang isu dan permasalahan berbangkit.
 
Kertas Perbincangan I bertajuk “Pemantapan Prosedur Nikah, Cerai dan Rujuk” telah dibentangkan oleh al-Fadhil Ust. Mohamad Hilmie b Hj. Mat Daud, Pegawai Agama Jajahan Machang, manakala Kertas Perbincangan II dengan topik “Tips dan Panduan Kaunseling Keluarga” dikupas oleh Puan Rohani bt. Mohd Nor, Penolong Pengarah Kanan Khidmat Nasihat JAHEAIK. Program ini telah disempurnakan dengan acara perasmian penutup oleh Puan Rohani bt. Mohd Nor yang mewakili Tn Hj Mohd Ab Aziz b Hj Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran Undang-Undang Keluarga JAHEAIK.





Friday 16 December 2011

SOAL JAWAB MUNAKAHAT; PERCERAIAN

Kekeliruan Tentang Lafaz Talak Ta’lik ; Bolehkah Ditarik Balik ?

SOALAN : Jika suami menyebut, “Kalau awak balik ke rumah mak awak, jatuh talak satu !”. Kemudian,  suami isteri tersebut telah berbaik semula dan suami menarik balik kata-katanya tadi. Keesokan harinya, mereka berdua telah balik ke rumah orang tua isterinya itu. Persoalannya, adakah jatuh talak satu sedangkan suami telah menarik balik kata-katanya dan isterinya balik ke rumah orang tuanya dengan kebenaran suami ? Adakah jatuh talak sekiranya suami tiada niat menceraikan isterinya, tetapi hanya berniat sebagai ugutan sahaja ?
 
JAWAPAN : Jumhur ulama’ bersepakat bahawa lafaz talak ta’lik tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dibatalkan apabila telah diucapkan. Sekiranya lafaz talak adalah jelas, maka talak akan jatuh walaupun suami tiada niat untuk menceraikan isterinya.  Walaubagaimanapun, pasangan tersebut hendaklah segera membuat pengesahan lafaz cerai taklik di mahkamah syariah untuk mendapatkan kepastian. Wallahua’lam. 


Thursday 1 December 2011

SOAL JAWAB MUNAKAHAT : PERCERAIAN

Suami jatuhkan talaq ketika isteri datang haid
Soalan
Adakah jatuh talak jika suami menceraikan isteri ketika isterinya itu sedang berhaid ?

Jawapan
Talaq tetap jatuh walaupun isteri masih dalam haid tetapi perbuatan suami adalah berdosa kerana menjatuhkan talaq ketika isteri dalam haid. Walaubagaimanapun, pasangan tersebut perlu membuat pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah. Sekiranya mahkamah memutuskan lafaz itu sah, suami tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 1 tahun atau denda tidak lebih RM1,000.00 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 6/2002 Negeri Kelantan kerana melafazkan talaq diluar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah.