Friday 30 December 2011

JEJAK PRIHATIN PEJABAT AGAMA JAJAHAN MACHANG 2011

Pada 21 Disember 2011, Pejabat Agama Jajahan Machang telah menganjurkan program Jejak Prihatin 2011 bertempat di Surau Desa Taqwa Tebing Renoh, Paloh Rawa, Machang. Sempena program ini, Pejabat Agama Jajahan Machang telah memberikan bantuan untuk membaiki Surau Desa Taqwa Tebing Renoh. Dengan kerjasama para penduduk Desa Taqwa ini, dinding dan pintu utama surau yang telah uzur telah digantikan dengan dinding konkrit dan pintu ‘sliding’ yang baru.



Program Jejak Prihatin 2011 ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Mohamed Fadzli b. Dato’ Hj. Hassan, ADUN Temangan yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Di antara pengisian program ialah Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rashid Mohd Noor daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan. Selain itu, seramai 50 orang penduduk Desa Taqwa Tebing Renoh juga telah menerima sumbangan kit bantuan yang telah disampaikan Yang Berhormat Dr. Mohamed Fadzli b. Dato’ Hj. Hassan. Turut hadir pada program ini ialah al-fadhil Ust. Mohamad Hilmie b. Hj. Mat Daud, Pegawai Agama Jajahan Machang dan En. Ahmad Fazli b. Abdullah, Penolong Ketua Jajahan Machang yang mewakili Ketua Jajahan Machang.






Sunday 18 December 2011

Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk dan Fasilitator PPKI-PPS Jajahan Machang 2011

Pada 15 Disember 2011 (Khamis), pejabat ini telah mengadakan program Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk dan Fasilitator PPKI-PPS Jajahan Machang, bertempat di Peladang Inn, Machang. Peserta program ini adalah terdiri daripada para Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jajahan Machang serta para fasilitator Pusat Perkhidmatan Khidmat Islam (PPKI-PPS) jajahan Machang.

Di antara objektif muzakarah ini adalah untuk memantapkan kefahaman dan pengetahuan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk dan Fasilitator PPKI-PPS Jajahan Machang mengenai prosedur Nikah, Cerai dan Rujuk yang tepat. DI samping itu, ia juga bertujuan meningkatkan kemahiran para peserta mengenai prosedur kaunseling keluarga dan pasangan bermasalah. Selain itu, program ini disasarkan menjadi medan perbincangan para Penolong Pendaftar Nikah, Cerai & Rujuk dan Fasilitator PPKI-PPS Jajahan Machang bersama pihak Pejabat Agama Jajahan Machang mengenai sebarang isu dan permasalahan berbangkit.
 
Kertas Perbincangan I bertajuk “Pemantapan Prosedur Nikah, Cerai dan Rujuk” telah dibentangkan oleh al-Fadhil Ust. Mohamad Hilmie b Hj. Mat Daud, Pegawai Agama Jajahan Machang, manakala Kertas Perbincangan II dengan topik “Tips dan Panduan Kaunseling Keluarga” dikupas oleh Puan Rohani bt. Mohd Nor, Penolong Pengarah Kanan Khidmat Nasihat JAHEAIK. Program ini telah disempurnakan dengan acara perasmian penutup oleh Puan Rohani bt. Mohd Nor yang mewakili Tn Hj Mohd Ab Aziz b Hj Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran Undang-Undang Keluarga JAHEAIK.





Friday 16 December 2011

SOAL JAWAB MUNAKAHAT; PERCERAIAN

Kekeliruan Tentang Lafaz Talak Ta’lik ; Bolehkah Ditarik Balik ?

SOALAN : Jika suami menyebut, “Kalau awak balik ke rumah mak awak, jatuh talak satu !”. Kemudian,  suami isteri tersebut telah berbaik semula dan suami menarik balik kata-katanya tadi. Keesokan harinya, mereka berdua telah balik ke rumah orang tua isterinya itu. Persoalannya, adakah jatuh talak satu sedangkan suami telah menarik balik kata-katanya dan isterinya balik ke rumah orang tuanya dengan kebenaran suami ? Adakah jatuh talak sekiranya suami tiada niat menceraikan isterinya, tetapi hanya berniat sebagai ugutan sahaja ?
 
JAWAPAN : Jumhur ulama’ bersepakat bahawa lafaz talak ta’lik tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dibatalkan apabila telah diucapkan. Sekiranya lafaz talak adalah jelas, maka talak akan jatuh walaupun suami tiada niat untuk menceraikan isterinya.  Walaubagaimanapun, pasangan tersebut hendaklah segera membuat pengesahan lafaz cerai taklik di mahkamah syariah untuk mendapatkan kepastian. Wallahua’lam. 


Thursday 1 December 2011

SOAL JAWAB MUNAKAHAT : PERCERAIAN

Suami jatuhkan talaq ketika isteri datang haid
Soalan
Adakah jatuh talak jika suami menceraikan isteri ketika isterinya itu sedang berhaid ?

Jawapan
Talaq tetap jatuh walaupun isteri masih dalam haid tetapi perbuatan suami adalah berdosa kerana menjatuhkan talaq ketika isteri dalam haid. Walaubagaimanapun, pasangan tersebut perlu membuat pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah. Sekiranya mahkamah memutuskan lafaz itu sah, suami tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 1 tahun atau denda tidak lebih RM1,000.00 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 6/2002 Negeri Kelantan kerana melafazkan talaq diluar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah.

Saturday 26 November 2011

Azam dan Hijrah

Hari ini, 26 November 2011 adalah hari terakhir dalam tahun 1432H. Bermula waktu maghrib hari ini, kita akan melangkah ke tahun baru, 1433H, meninggalkan tahun 1432H dengan pelbagai kenangan dan pengalaman pahit manis, suka dan duka. Perlu diingat, selangkah kita menjejakkan kaki ke tahun baru bermakna selangkah kita menambahkan usia kita, dan semakin dekat jarak waktu untuk kita bertemu dengan Maha Pencipta.



Persoalannya, adakah kita sudah dan sentiasa bersiap-siaga menghadapinya? Sejauh manakah persiapan dan persediaan kita untuk mempersembahkan segala amalan dan kebaktian kita kepadaNya? Adakah kita yakin untuk diterima dan berada di kalangan ashabul yamin yang diredhaiNya dan seterusnya diganjari dengan syurgaNya? Ataupun kita bakal dihimpunkan dalam golongan ashabus syimal yang bakal dihumbankan ke dalam neraka? Na’uzubillah min zalik !!



Justeru, bertepatan dengan sambutan tahun baru 1433H ini, marilah bersama-sama kita menanamkan tekad dan azam untuk lahir sebagai hamba Allah s.w.t yang beriman dan melakukan amalan-amalan yang diperintahkan olehNya, serta mampu meninggalkan segala amalan yang diharamkan dan dibenci olehNya.



Walaubagaimanapun, menarik juga untuk diperkatakan di sini tentang perbezaan di antara azam dan hijrah. Secara teorinya, azam adalah satu tekad, impian, cita-cita dan janji kepada diri sendiri untuk melakukan sesuatu. Biasanya seseorang akan membina azam pada setiap awal tahun, samada pada awal tahun hijri atau masihi. Menariknya, tidak semua azam yang kita bina itu berjaya dicapai dan dilaksanakan. Bahkan ada orang yang mengulangi (recycle ?) azam yang sama hampir setiap tahun. Ramai juga yang sekadar berazam tetapi azam tinggal azam..



Manakala hijrah pula adalah satu perbuatan (secara praktik dan amali) meninggalkan sesuatu perkara yang lama dan menggantikannya dengan sesuatu yang baru. Contohnya, mulai tahun baru ini, kita berhijrah dari seorang yang bersifat pemarah kepada menjadi seorang yang bersifat pemaaf dan lemah-lembut. Atau juga berhijrah dari seorang yang kuat merokok kepada seorang yang tidak merokok.



Nampak apa bezanya di antara azam dan hijrah? Ya, azam sebenarnya lebih bersifat retorik dan teori. Tidak semestinya apa yang kita azamkan akan menjadi kenyataan. Mungkin sesetengah orang akan menyerahkan kepada keadaan dan nasib, samada azam tahun barunya itu akan dapat direalisasikan atau dikuburkan begitu sahaja. Ataupun jika bernasib baik, azamnya itu boleh dikitar semula untuk tahun-tahun mendatang ! Sedangkan hijrah pula lebih bersifat praktikal dan segera. Tiada masa untuk berangan-angan dan bercita-cita. Masa yang kita ada pun bukannya panjang sangat, hanya 365 hari sahaja dalam setahun. Yang penting bila kita berhijrah, terus kita laksanakan hijrah tersebut tanpa ada rasa ragu-ragu, was-was dan malas. Dan tiada juga lagi alasan sibuk, tak sempat, busy,  masih belum sesuai, tak sampai seru dan pelbagai lagi alasan dan sebab yang mungkin munasabah dan mungkin juga tidak munasabah.



Kesimpulannya, sempena kedatangan tahun baru 1433H ini, marilah kita terus berhijrah ke arah yang lebih baik. Hayatilah hijratur-rasul dan hijratus-sahabah, yang apabila sampai kepada mereka arahan Ilahi untuk berhijrah meninggalkan Kota Mekah ke Madinah , tiada lagi alasan dan excuse. Terus mereka laksanakan hijrah itu dengan penuh keimanan dan kesungguhan. Begitu juga, apabila turunnya arahan daripada Allah s.w.t. tentang pengharaman sesuatu perkara seperti meminum arak, para sahabat r.a. terus membuang bertong-tong arak yang disimpan oleh mereka tanpa ada sebarang bantahan atau memohon penangguhan. Mereka terus berhijrah tanpa menunggu atau bertangguh-tangguh lagi. Semangat hijrah inilah yang perlu kita sematkan dan pasakkan dalam diri kita, agar apa sahaja azam tahun baru hijrah kita kali ini tidak sia-sia dan terbuang begitu sahaja. Mungkin hijrah kali ini adalah yang terakhir bagi kita.

Sunday 20 November 2011

Program Mufti Bersama Masyarakat Jajahan Mache 2011

Pada 20 November 2011 (Ahad), pejabat ini dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Kelantan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang telah menganjurkan program Mufti Bersama Masyarakat bertempat di Masjid Sultan Yahya Petra, Machang. ‎2 Kertas Kerja  telah dibentangkan., iaitu Kertas 1 bertajuk "Harta Sepencarian Menurut Enakmen Negeri Kelantan" oleh Tn Hj Mohd Anwan Ab Muttalib, Ketua Pendaftar JKSNKn. Kertas 2 bertajuk "Perkahwinan dan Poligami Tanpa Kebenaran" dibentangkan oleh al-fadhil Tn Hj Suratemi Mat Yusoff, Pegawai Agama Jajahan Pasir Mas. Acara kemuncak adalah Sesi Dialog bersama YB SF Dato' Nik Abdul Kadir b. Nik Muhammad, Timbalan Mufti Negeri Kelantan. Program ini telah dirasmikan oleh YABRS Ketua Jajahan Machang, Tn Hj Che Ismail b. Hasabullah. Majlis tamat jam 100 petang selepas Solat Zuhur berjemaah dan Jamuan Makan Tengahari.





Friday 18 November 2011

Kompleks Islam Jajahan Machang yang baru mula beroperasi

Mulai 17 November 2011 sehingga 22 November 2011 pejabat ini akan berpindah sepenuhnya ke bangunan baru Kompleks Islam Jajahan Machang, bersebelahan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang. Pejabat ini akan mula beroperasi secara minima mulai Ahad, 20 November 2011. Walaubagaimanapun, pihak kami memohon maaf sekiranya terdapat kesulitan dan ketidakselesaan sepanjang tempoh ini.

Intro..

Assalamualaikum wrt. wbt.

Insya Allah, laman ini akan menjadi wasilah interaksi antara Pejabat Agama Jajahan Machang dan masyarakat, khususnya warga Jajahan Machang. Laman ini akan memberikan info-info terkini program dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pejabat ini. Di samping itu, laman ini akan menjadi medan perbincangan ilmiah dan percambahan idea serta pandangan dalam merancakkan penyebaran ilmu agama dan dakwah di negara kita, khususnya di jajahan Machang, Kelantan.